Tuesday 23 December 2014

PASMA MEMBANTAH SEBARANG TINDAKAN KE ATAS PROFESOR DR YUSOF AL-QARDAWI.

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang dilakukan ke atas Ketua Umalak Dunia, Profesor Dr Yusof Al-Qardawi. mengapakah tindakan tidak diambil ke atas regim Al-Sisi yang jelas melakukan pembunuhan ke atas rakyat Mesir dan menggulingkan sebuah kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat melalui saluran demokrasi. Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu mereka memang berniat jahat ke atas kebangkitan Islam. Mereka yang menyeru demokrasi sebaliknya merobohkan sistem demokrasi di Mesir. Dato' Ir. Phahrolrazi Zawawi Presiden PASMA

Monday 22 December 2014

PROFESOR YUSOF AL QARDAWI PEJUANG ISLAM SEBENAR.

Profesor Dr Yusof Qardawi adalah merupakan seorang ulamak yang berani menyatakan yang benar walaupun beliau terpaksa menghadapi risiko yang benar. Demi menyatakan kebenaran terhadap penguasa zalim seperti Jeneral Al-Sisi yang menggulingkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat. Umat Islam seluruh dunia yang cintakan kebenaran dan cintakan ulamak yang tidak hipokrit terhadap pemerintah zalim patut menyatakan sokongan padu kepada beliau. Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi (Bahasa Arab: يوسف عبدالله القرضاوي‎) adalah seorang cendekiawan Islam dari Mesir yang terkenal. Beliau merupakan ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) dan presiden Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (International Association of Muslims Scholars). Syeikh al-Qaradawi dilahirkan di Mesir pada tahun 1926. Beliau mengaji al-Quran ketika beliau berusia kurang 10 tahun. Beliau menyertai Institusi al-Azhar pada peringkatan sekolah rendah dan menengah. Kemudian, beliau memasuki Fakulti Teologi dan memperolehi Sijil 'Aliyya (bersamaan dengan ijazah BA sekarang ini) pada sekitar tahun 1952-53. Beliau juga memperolehi Ijazah Pengajaran daripada Fakulti Bahasa Arab pada tahun 1954. Pada tahun 1960, beliau memperolehi Kajian Saringan Tinggi yang bersamaan dengan ijazah MA daripada Bahagian Sains al-Quran dan Hadis di Fakulti Teologi. Pada tahun 1973, beliau memperolehi ijazah PhD dengan hujahnya mengenai Az-Zakah fi Hal al-Mushlikat al-Ijtima'iyya (Zakat dan Pengaruhnya dalam Penyelesaian Masalah Sosial). Beliau menjawat jawatan sebagai seorang khatib, guru dan penulis di al-Awqaf dan al-Azhar. Beliau telah menerbitkan lebih 100 buah buku yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Islam, kesusasteraan dan puisi. Antaranya bukunya yang terkenal ialah Halal dan Haram di dalam Islam dan Keutamaan Gerakan Islam pada Fasa Akan Datang. Banyak ilmuwan menyifatkan beliau sebagai seorang mujtahid pada Era Moden. Beliau aktif dalam bidang dakwah dan Gerakan Islam untuk tempoh lebih daripada separuh abad. Yusuf sangat terpengaruh dengan pemikiran Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Dalam kebanyakan tulisannya, beliau sering mengambil pendapat tiga tokoh ini. Beliau dimusuhi oleh rejim tentera Mesir di bawah Al-Sisi apabila beliau membela Al-Ikhwan Al Muslimin seperti mana yang dinyatakan oleh beliau dalam bukunya : "Aku ingin berterus terang mengatakan, bahawa ake memperoleh manfaat agama yang begitu besat dari Al Ikhwan Al Muslimun. Aku memperoleh faedah yang sangat banyak dari dakhwah ikhwan. Dakwah Ikhwan telah memperluas cakerawala fikiranku memahami islam secara utuh, sebagaimana disyariatkan Allah SWT, sebagaimana tertera dalam kitab-Nya, seperti diserukan Rasul-Nya dan difahami oelh para sahabatnya. Islam adalah agama dan dunia, dakwah dan negara, aqidah dan syariat, ibadah dan kepimpinan, mushaf dan..." Beliau adalah seorang ulamak sejati yang sanggup berkata benar walaupun pedih akibatnya. Beliau tidak bersekongkol dan berkompromi dengan pemerintah zalim dan rasuah.

Saturday 20 December 2014

PENDAFTARAN SUKARELAWAN PASMA DIBUKA

PASMA KELANTAN membuka pendaftaran kepada seluruh sukarelawan daripada Kelantan dan luar Kelantan untuk menggembelingkan tenaga bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan. Menurut Pengarah Pusat Bantuan Banjir PASMA, Che Nordin Che Husin, bantuan daripada orang ramai sangat penting kerana masih ramai yang memerlukan bantuan. Bantuan berupa makanan dan pakaian serta keperluan lain boleh dihantar terus kepada Bilek Gerakan Banjir PASMA yang terletak di Surayya Inn, Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan. Di atas sumbangan yang dihulurkan, pihak PASMA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan.

BILEK GERAKAN BANJIR PASMA KELANTAN BERJALAN LANCAR.

PASMA KELANTAN menubuhkan Bilek Gerakan Bantuan Banjir dan mengedarkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Bantuan sumbangan orang ramai amat diperlukan bagi mendapatkan bekalan bahan makanan, pakaian dan keperluan. Pihak Bomba dan Penyelamat bekerjasama rapat dengan PASMA bagi mengedarkan bantuan yang diperlukan. Timbalan Presiden PASMA dan juga Pengerusi PASMA Kelantan, Ustaz Muhammad Husin memberikan taklimat kepada sukarelawan PASMA pada hari Jumaat lepas bertempat di Bilek Gerakan Banjir. Turut serta dalam majlis berkenaan ialah Ustaz Aziz Abbas yang merupakan Pengerusi PASMA Negeri Terengganu. Selepas itu, Ustaz Muhammad Husin bersama petugas dan sukarelawan PASMA membuat tinjauan dan memberikan sumbangan kepada mangsa banjir di sekitar Rantau Panjang. Turut serta ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang yang merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Kerjasama antara beliau dengan PASMA sangat membanggakan. Adalah diharapkan kerjasama yang sedemikian akan berterusan demi memberikan kebajikan kepada rakyat yang berada dalam kesusahan. PASMA Kelantan akan mempergiatkan lagi agihan sumbangan kepada penduduk yang menghadapi kesulitan akibat banjir yang melanda. Harapan PASMA agar bantuan daripada orang ramai akan terus diberikan bagi mempastikan bekalan yang mencukupi.

Thursday 18 December 2014

TABUNG BANTUAN BENCANA BANJIR PASMA DITUBUHKAN

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia menubuhkan Tabung Bantuan Bencana Banjir PASMA bagi membantu mangsa-mangsa banjir khususnya di Negeri Kelantan dan Terengganu yang menghadapi banjir. PASMA memohon sumbangan daripada orang ramai untuk disalurkan kepada operasi bantuan yang telah ditubuhkan dan diketuai oleh Ustaz Che Nordin Che Husin, manakala Pengarah Operasi pula ialah Ustaz Che Ibrahim Mohamad. Pusat Operasi Bantuan Banjir PASMA Kelantan ialah di Surayya Inn, Lubok Jong, Rantau Panjang, Kelantan. Nombor telepon operasi ialah 013-9840899. Sumbangan orang ramai hendaklah disalurkan melalui akaun Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad no 02039010075853.

Wednesday 17 December 2014

PANDANGAN ILMUAN ISLAM TENTANG PERLAKSANAAN HUDUD

Tidak ada Muslim yang menolak hukum hudud Saya percaya tidak ada pemimpin dan umat Islam seluruh dunia yang faham, menolak Hukum Hudud kerana semua maklum ianya adalah perintah dan hukum Allah yang termaktub dalam al Quran. Prof Madya Dr Asri berkata : Kita tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan penafsiran hukum berkenaan oleh manusia.Ini seperti kita tidak boleh mempertikaikan syariat haji, tetapi kita boleh mempertikaikan amalan haji individu tertentu jika ia tidak bertepatan. Kita tidak boleh mempertikaikan sistem muamalat al-Quran dan Sunnah, tetapi kita boleh mempertikaikan bank, pajak gadai, syarikat, koperasi dll yang menggunakan nama Islam dalam operasi mereka jika kita dapati ia tidak menepati semangat Islam yang sebenar. Demikian kita tidak boleh mempertikaikan syariat hudud, tetapi kita boleh mempertikaikan perlaksanaan oleh pihak tertentu apabila kita dapati ia tidak memenuhi semangat keadilan yang dikehendak oleh Allah dan rasulNYA. Namun, tujuannya hendaklah untuk memelihara nama Islam agar tidak disalahgunakan atau disalahfahami. Sesuatu yang wajar diakui bahawa bukannya mudah untuk melaksanakan hudud di zaman kini, terutama di negara kita yang mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dibanding hari-hari awal hudud dilaksanakan. Dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan hudud tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu. Tokoh ilmuwan muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi s.a.w hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia muslim. Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah tiada lagi. Dalam The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, John L. Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan. Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberapa tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam perlaksanaan hudud. Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya ‘An International Call for Moratorium on Corporal Punishment’ pula menyeru kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah. Demikian juga tokoh fekah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarqmeminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam. Tiga Golongan Maka, mereka yang enggan menerima perlaksanaan hudud itu ada tiga golongan; pertama, mereka yang membenci hudud itu sendiri dan menganggapnya zalim dan buruk. Maka golongan ini rosak akidahnya. Kedua, mereka yang tidak menolak hudud tetapi menolak tafsiran perincian hudud yang dibuat oleh pihak tertentu. Ini kerana nas-nas hudud dalam al-Quran dan hadis umum, perinciannya adalah ijtihad ataupun tafsiran para pengkaji. Sebagai contoh, Prof Dr Hashim Kamali seorang sarjana muslim yang terkenal telah menulis mengkritik enakmen hudud Kelantan dan Terengganu. Sesiapa yang berminat boleh membaca tulisan beliau ‘Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu Penelitian Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu”. Golongan ini tidak boleh dianggap mengkritik Islam sebaliknya mengkritik tafsiran pihak tertentu tentang hudud. Golongan ketiga, mereka tidak menolak hudud tetapi menyatakan keadaan hari ini ataupun masyarakat yang sedang ada tidak kondusif untuk dilaksanakan hudud. Dalam ertikata lain, persekitaran yang memboleh hudud itu berfungsi dengan adil tidak wujud. Maka hudud mestilah ditangguhkan sehingga suasana yang sesuai itu muncul. Ini seperti kita menyatakan haji itu wajib tetapi oleh kerana kewangan tidak cukup, ataupun perjalanan tidak aman, maka hendaklah ditangguhkan. Jika hudud dilaksanakan juga ia tidak akan mencapai tujuan yang Allah kehendaki. Golongan ketiga tidak menolak hudud tetapi menyatakan bahawa dari segi maqasidnya ia tidak wajar dilaksanakan pada waktu ini sebelum suasana yang kondusif muncul. Tujuan Kenegaraan Hakikatnya tujuan kenegaraan dalam Islam bukanlah untuk hudud. Tujuan kenegaraan lebih luas dari itu. Pemerintah menegak social justice ataupun keadilan masyarakat dalam segala aspek. Hudud hanyalahmechanism dalam mengatasi jenayah tertentu. Bahkan perkataan ‘hudud Allah’ dalam al-Quran tidaklah merujuk kepada undang-undang jenayah sebaliknya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 merujuk kepada hukum-hakam puasa, Surah al-Baqarah ayat 229-230 merujuk kepada hukum-hakam talak, Surah an-Nisa ayat 13 tentang harta pusaka, Surah al-Mujadilah ayat 4 tentang hukum zihar, Surah at-Talaq ayat 1 tentang edah talak. Ertinya perkataan hudud dalam al-Quran secara peraturan Allah bukan hanya tertumpu kepada hukum jenayah sahaja. Menjadikan politik tertumpu kepada hudud bukan satu kebijaksaan. Tidak dari segi maqasid agama, tidak juga dari segi kepentingan politik. Tujuan politik jauh lebih luas dari hanya membincang cara memotong tangan pencuri. Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatut membincang bagaimana memasti tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara. Hendak dipastikan semua warga sama di hadapan undang-undang. Tidak boleh ada pihak yang boleh bermaharajalela yang jika mereka didakwa, yang membawa kes pula akan dikenakan di bawah akta hasutan. Jangan sampai rakyat yang mencuri di pasaraya dipotong tangan, tapi pembesar yang mencuri hutan balak negara dibiarkan. Akhirnya, saya ingin memetik apa yang al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah: “Berkata al-Shafi’i: “Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”. Kata Ibn ‘Aqil: “Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.. apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agamaNYA. Allah S.W.T lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu kemudian menafikan apa yang lebih jelas daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih nyata tandanya, lalu dia tidak menerima dan menilai kewujudannya dan menegakkan tuntutannya. Bahkan Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa siyasah yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak, sebaliknya ia menepatinya. Bahkan siyasah yang adil itu satu juzuk dari syarak. Kita menamakannya siyasah mengikut istilah mereka padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasulNYA yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti tersebut”