Kemenangan BN dalam pilihan Raya Kecil (PRK) sememangnya sudah dijangka sejak awal lagi.
BN mendapat 9,961 undi manakala PAS mendapat 7,326 undi. Calon Bebas pula mendapat 38 undi. BN menang dengan majoriti 2,635 undi
Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.
Walaupun
pada hari kempen, kedua-dua parti dilihat hebat berperang poster dan
kain rentang, namun ia bukan kayu ukur yang akan menentukan kemenangan
mana-mana pihak.
Melihat kepada kesungguhan jentera BN daripada
pimpinan tertinggi hingga akar umbinya yang turun padang untuk
berkempen, keputusan itu tidak memeranjatkan.
Bahkan, kerja kuat
yang ditunjukkan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
tidak putus-putus mengunjungi Pengkalan Kubor, akhirnya berbayar dengan
kemenangan besar apabila majoriti undi BN bertambah hampir 1,000 undi.
Tidak
dapat dinafikan juga, strategi yang digunakan oleh pengarah pilihannya,
Datuk Seri Mustapa Mohamad berhasil. Malah, dengan pemilihan calon yang
mempunyai perwatakan warak, juga dilihat mampu menarik perhatian
pengundi.
Strategi
BN yang menggunakan pendekatan 'tunggu dan lihat' dalam isu-isu yang
dibangkitkan PAS juga dilihat berjaya apabila mereka lebih banyak
menjawab segala dakwaan yang dilemparkan PAS berbanding mencetuskan
sebarang isu atau provokasi.
Malah, pilihan raya kecil kali ini
juga merupakan antara yang paling tenang berbanding dengan yang lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga hanya menerima tiga laporan
berhubung kesalahan semasa tempoh berkempen serta tiada kekecohan atau
pergaduhan yang berlaku sepanjang PRK berlangsung.
Malah,
berdasarkan keputusan pilihan raya kecil ini, ternyata penduduk setempat
tidak begitu ambil peduli tentang isu royalti minyak Kelantan yang
selama ini menjadi modal PAS untuk berkempen.
Isu-isu berkaitan
agama serta menggunakan ketokohan bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat juga dilihat kurang berhasil.
Tak berani sentuh
Adakah
ini mencerminkan kebimbangan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat sebelum
ini mengenai masa depan parti itu di Kelantan? Bagaimanapun kekhuatiran
itu ditepis Menteri Besar Datuk Ahmad Yacob.
PAS juga dilihat
tidak berani untuk 'menyentuh' pengundi masyarakat Siam walaupun mereka
merupakan pengundi kedua terbesar selepas pengundi Melayu iaitu sebanyak
6.81 peratus.
Berbeza dengan BN di mana mereka sentiasa 'menyajikan' masyarakat Siam dengan pelbagai aktiviti.
Melihat
kepada perkara ini, mungkin PAS selepas ini perlu mengubah atau
menyesuaikan strategi mereka mendekati pengundi bukan Islam.
Rata-rata
penduduk yang ditemui juga lebih gemar jika isu pembangunan dan
penyelesaian bagi masalah nelayan di kawasan itu dibangkitkan.
Ini kerana, kira-kira 80 peratus pengundi di Pengkalan Kubor bekerja sendiri dengan menjadi petani dan nelayan.
Oleh
itu, tidak mustahil sekiranya kemenangan BN dalam pilihan raya kecil
itu digapai apabila pelbagai projek dijanjikan antaranya pembinaan
semula jeti di Kampung Geting diberikan sebagai kemudahan nelayan di
kawasan itu.
Kampung Geting merupakan kawasan kubu kuat PAS.
Projek untuk petani, nelayan
Hal
ini turut diakui PAS apabila mereka berpendapat agak sukar untuk
menyaingi BN jika ia melibat projek-projek bagi golongan petani dan
nelayan.
Malah mereka juga berpendapat, agak sukar untuk mengubah
persepsi dan mentaliti sesetengah petani dan nelayan agar memberikan
sokongan kepada PAS.
Selain itu, walaupun PAS menafikan ketiadaan pimpinan Pakatan serta masalah dalaman parti sebagai punca utama kekalahan.
Namun
perkara itu tidak dapat menutup kepincangan yang berlaku apabila parti
itu turut kalah di peti undi yang sebelum ini dimenangi mereka di Pusat
Daerah Mengundi (PDM) Telaga Bata.
Malah, jumlah pengundi di beberapa kawasan PDM yang dimenangi PAS sebelum ini juga merosot.
PAS mendakwa, kemerosotan undi itu berpunca daripada pengundi luar yang tidak pulang untuk mengundi.
Namun
dengan jumlah pengundi luar sekitar 2,000 ia masih tidak dapat memberi
penjelasan sebenar tentang kemerosotan sokongan dan kalah peti undi
Telaga Bata.
Walaupun
PAS seringkali menafikan wujudnya masalah dalaman, namun kekurangan
undi si beberapa kawasan peti undi, sedikit sebanyak memberitahu adanya
pihak yang tidak keluar mengundi atau dalam erti kata lainnya
'memboikot' pilihan raya kecil berkenaan.
Ini dapat dilihat
apabila wujudnya cakap-cakap yang mengatakan terdapat pemimpin tertinggi
parti yang berasal dari negeri berkenaan kurang kelihatan sepanjang PRK
Pengkalan Kubor ini berlangsung. Bagaimanapun, ketika ditanya perkara
itu, segera dinafikan PAS.
Justeru, selepas 12 hari berkempen dan BN mengekalkan kerusi itu dengan tambahan majoriti, maka di mana silapnya PAS?
Adakah ia disebabkan kurang sokongan rakan sekutu daripada Pakatan atau masalah dalaman parti yang menjadi punca kekalahan?
SUMBER : http://www.malaysiakini.com/news/275793
No comments:
Post a Comment