Konspirasi
antarabangsa jatuhkan Hadi, Ulama mengarut, kata pemimpin PAS
OLEH
JAMILAH KAMARUDIN
Published: 6 October
2014
AJK PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin (gambar)
dan Khalid Samad kedua-duanya menyangkal teori Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
tentang konspirasi antarabangsa terhadap PAS. – Gambar fail The Malaysian
Insider, 6 Oktober, 2014.Dakwaan Nik Mohamad Abduh
Nik Abdul Aziz mengatakan wujud konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama disangkal hari
ini oleh dua rakan sejawatnya yang mengatakan ia mengarut dan tidak berasas.
Bagaimanapun, seorang
pemimpin Majlis Syura mengatakan gerakan untuk menekan kebangkitan Islam memang
wujud di peringkat antarabangsa, dan PAS sebagai salah satu pertubuhan Islam
tidak terlepas dari menjadi sasaran.
Ahli Jawatankuasa
(AJK) PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin ketika dihubungi The Malaysian Insider,
menepis dakwaan rakan sejawatnya Nik Abduh, dan menganggapnya sebagai pandangan
peribadi semata-mata.
"Bagi saya itu teori mengarut.
Tidak ada konspirasi. Adakah dengan melantik Hadi sebagai Timbalan Presiden
Kesatuan Ulama Sedunia juga merupakan satu konspirasi antarabangsa?" kata
ahli Parlimen Sepang itu.
Katanya, walaupun
pihaknya mengakui sayap ulama parti itu sering menerima "serangan"
dan kritikan sejak kebelakangan ini, itu tidak bermakna ia didalangi negara
luar untuk menjatuhkan parti Islam itu dan negara Malaysia.
"Saya rasa kuasa
besar dunia pun ada banyak benda lain hendak fikir daripada (rancang) konspirasi,"
katanya.
Nik Abduh dalam
artikelnya "Islam tanpa syariat" yang disiarkan Harakahdaily semalam
mendakwa kuasa besar dunia yang berjaya menjatuhkan negara Islam di Timur
Tengah seperti di Syria dan Mesir kini mula mensasarkan serangannya di Malaysia.
Katanya, prinsip PAS
yang konsisten berjuang menegakkan agama di dalam negara merimaskan musuh Islam
antarabangsa.
Keadaan itu katanya
menyebabkan PAS diserang, bermula dengan melemahkan pimpinan utama, sekaligus
tidak mahu PAS menjadi parti yang kuat dan mendominasi Pakatan Rakyat (PR).
"Jika anda
bertanya, adakah gerakan menjatuhkan Hadi dan memperlekeh Majlis Syura Ulama
PAS adalah projek konspirasi musuh Islam antarabangsa? Saya jawab, ya,"
kata anak Mursyidul Am PAS itu.
Pendapat Hanipa itu
turut disokong seorang lagi AJK PAS Pusat, Khalid Samad yang menganggap Nik
Abduh membuat andaian tanpa asas kukuh.
Katanya, situasi
konflik di negara Timur Tengah tidak boleh diramalkan akan sama terjadi di
Malaysia
"Kena ada asas
untuk buat andaian. Asas dia apa? Kalau kata usaha hendak jatuhkan ulama (PAS),
siapa yang nak jatuhkan?" kata ahli Parlimen Shah Alam itu.
Khalid berkata,
teguran yang dibuat ahli PAS dan pihak luar terhadap Majlis Syura tidak bererti
mahu menjatuhkan badan tertinggi PAS itu.
"Kepimpinan
ulama dijamin dalam perlembagaan (parti), tetapi janganlah komen dan beri
pandangan ada usaha nak jatuhkan... ini dah terlalu melampau," katanya.
Katanya, teguran
terhadap Majlis Syura merupakan perkara biasa sejak kepimpinan dahulu.
Bagaimanapun, Setiausaha
Majlis Syura Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh tidak menafikan wujudnya
gerakan antarabangsa yang didalangi kuasa besar seperti Amerika Syarikat,
Israel dan Britain untuk menjatuhkan kepimpinan ulama secara global.
"Ya, memang
salah satu daripada sasaran adalah PAS. Itu tidak boleh dinafikan. Mana-mana
negara yang ada kebangkitan Islam dilihat sebagai ancaman oleh kuasa
besar," katanya.
Katanya, mereka
memulakan serangan ideologi dengan cuba mengasingkan isu ekonomi dan politik
daripada dikaitkan dengan agama sehingga ada sesetengah alim ulama dan pemimpin
agama termakan dengan agenda itu.
"Sesetengah alim
ulama, bila jadi mufti, dia tidak berani bercakap benda yang benar,"
katanya.
Beliau bagaimanapun
enggan mengaitkan konspirasi itu dengan cubaan melemahkan kedudukan dalam PR,
seperti yang didakwa Nik Abduh.
"Itu pandangan
dia. Dia mungkin sedar perkara itu terjadi maka dia kena buktikan
sendiri," katanya. – 6 Oktober, 2014.
No comments:
Post a Comment