Wednesday 26 November 2014

KENYATAAN TUAN IBRAHIM, NAIB PRESIDEN PAS PATUT DIPUJI

PAS tidak pernah rugi dengan tahaluf siyasi, kata naib presiden Published: 27 November 2014 Walaupun dengan persepsi orang ramai PAS mahu meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat, naib presiden parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti tidak pernah kerugian dengan tahaluf siyasi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 November, 2014. Walaupun dengan persepsi orang ramai PAS mahu meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat, naib presiden parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti tidak pernah kerugian dengan tahaluf siyasi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 November, 2014. Ketika sesetengah pihak dalam PAS mahu kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat (PR) dikaji, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan PAS tidak pernah rugi ketika berbuat demikian dan akan kekal bersama PR. "Setiap tahaluf yang diadakan, PAS tidak pernah rugi. Tahaluf dengan Semangat 46 membolehkan PAS menawan Kelantan (hingga sekarang), tahaluf dengan Pakatan Rakyat pula membolehkan PAS mendapat lebih sokongan di beberapa negeri, termasuk Negeri Sembilan dan Selangor sehingga Pakatan Rakyat berjaya memerintah di Selangor," kata Tuan Ibrahim dalam satu wawancara yang disiarkan akhbar Harakah, lidah rasmi PAS. Beliau juga berkata, tahaluf siyasi dengan Perikatan memberikan pengalaman yang sangat penting kepada PAS untuk menguasai politik di Malaysia. "Pertama, semasa keputusan dibuat sudah berlaku perpecahan dalam PAS hingga tertubuh beberapa parti lain," katanya. Katanya, kejayaan besar kepada PAS hasil tahaluf siyasi PAS bersama Perikatan pada tahun 1970-an itu, ia berjaya mengangkat imej-imej Islam termasuk larangan minum arak di Parlimen, meningkatkan kefahaman agama kepada ahli-ahli Parlimen, memperkasakan lagi Felda di seluruh negara, kerana pada masa itu Datuk Asri (Muda) menjadi Menteri Tanah. "Ini sekaligus meningkatkan lagi kebangkitan Islam di Felda," kata Tuan Ibrahim yang pernah menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Pahang pada 1999, satu kawasan yang penuh dengan peserta Felda. Sesetengah kumpulan dalam PAS sekarang banyak menyerang rakan-rakannya dalam PR sehingga menimbulkan persepsi parti Islam itu mahu keluar atau ditendang keluar dari gabungan itu. Begitu juga rakan-rakan PAS dalam PR, terutamanya DAP yang sentiasa menyerang dan menyindir pimpinan PAS seolah-olah mahu PAS meninggalkan gabungan itu. Yang terbaru, DAP mengambil keputusan mencalonkan wakilnya dalam Dewan Negeri Selangor untuk dilantik sebagai timbalan speaker sedangkan sudah diputuskan ia akan dilantik di kalangan wakil rakyat PAS. Ketika menjelaskan tindakan itu, Timbalan Setiausaha DAP Selangor Ng Suee Lim menjelaskan ia mesej DAP kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tuan Ibrahim dalam wawancara dengan Harakah itu menegaskan, PAS tidak pernah khianat kepada rakan-rakan yang bertahaluf dengannya. "Cuma pihak musuh, Umno-BN sahaja yang kata sebaliknya untuk melagakan kita, termasuk dengan Pakatan Rakyat sekarang," katanya. Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak, terutama dalam PAS agar "ia dihadapi dengan baik kerana setiap tahaluf yang kita buat berjaya membantu kita dalam usaha menegakkan Islam." Beliau memberikan justifikasi sendiri terhadap pihak dalam PAS yang mahu keluar dari PR. "Perjuangan kita dalam PAS ini adalah untuk membawa amanah perjuangan Islam. Perjuangan kita dalam PAS ikut amanah Islam dalam politik. Kita mahu menang pun kerana untuk membawa amanah Islam. Mereka bimbang mesej amanah itu tidak boleh dibawa jika bersama Pakatan Rakyat. Itulah sebab mereka berpandangan sedemikian," kata Tuan Ibrahim. Tetapi realitinya, kata beliau, politik di Malaysia ini, rakyat mahu perubahan besar. "Jika hanya dengan satu parti sahaja, kita tidak boleh tukar kerajaan. Umno pun jika Umno sahaja tidak boleh menang atau tidak boleh perintah negara. Itulah sebabnya Umno pun perlu bekerjasama dengan parti-parti lain, MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti lain dalam BN. "Jadi dari segi realiti politik, kita kena kekal bersama Pakatan Rakyat," katanya. Menurut beliau, PAS kena membawa amanah untuk mengangkat martabat Islam bersama Pakatan Rakyat. "Jika bersama Pakatan Rakyat, kita ada ruang dakwah kepada orang bukan Islam. Kalau kita keluar Pakatan Rakyat, kita bimbang akan balik kepada keadaan lama iaitu susah untuk kita dekati non Muslim, malah masyarakat non Muslim menjadi makin jauh dengan Islam. Jadi sekarang, ia bergantung kepada sejauh mana gerak kerja kita dalam dakwah," tambah Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang itu. – 27 November, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-tidak-pernah-rugi-dengan-tahaluf-siyasi-kata-naib-presiden#sthash.oxRrwKmX.dpuf

No comments:

Post a Comment