Wednesday 24 September 2014

Menjejaki PasMa Melalui Kumpulan Republik Islam

Penulis veteran PAS, Subky Latif dalam tulisan di Harakahdaily terbaharu tidak menolak kemungkinan PasMa (Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia) yang asalnya sebuah NGO, bakal didaftarkan sebagai parti politik serpihan PAS untuk menyaingi parti politik induk itu.
Mohd Taib Ahmad
Kemungkinan itu, kata Subky berdasarkan latar belakang Setiausaha PasMa, Mohd Taib Ahmad, aktivis PAS dari Kubang Pasu, Kedah.
“Saya kenal dia. Dengan dia jadi penggerak utamanya, dia boleh daftar parti seperti Ustaz Wahab Yunus, orang PAS Dungun zaman Datuk Asri dulu.
“Dia simpan pendaftaran parti dan dikatakan pendaftaran dibeli oleh golongan reformasi sebagai tapak pembentukan PKR. Itu yang saya dengar,”katanya.
Subky merujuk kes PasMa sama seperti kes parti IKATAN (Ikatan Masyarakat Islam Malaysia) ditubuhkan oleh bekas Ahli Parlimen PAS Dungun, Abdul Wahab Yunus pada tahun 1991.
Parti Ikatan sepanjang penubuhannya tidak aktif kata penganalisis politik Cikgu Zain , sehinggalah parti itu ‘dibeli’ oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999 dan menukarkannya menjadi Parti KeADILan Nasional (PKN) dan ditukar lagi menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah bergabung dengan PRM (Parti Rakyat Malaysia) pada tahun 2004.
Subky yang terkenal dengan penulisan berkias dan paradoks itu turut mendedahkan kemungkinan PasMa bakal didaftarkan sebagai parti politik menggunakan proksi Mohd Taib Ahmad dengan tajaan sekutu-sekutu Pakatan Rakyat, PKR dan DAP.
“Yang saya ulas ura-ura keinginan penubuhan itu kemungkinan ia diusahakan oleh sekutu PAS bagi memalukan PAS setelah ia tidak jadi tukang angguk dalam krisis politik Selangor sekarang. Setelah PAS dimalukan dengan dua ADUN disambar, maka mungkin diadakan pak sanggup bagi menggantikan tempat PAS dalam sekutu itu.
“Tidaklah kita bersangka buruk, tetapi politik dunia ini begitu dan tidak boleh dipandang remeh. Jika dari situ puncanya, habis Anwar dan Kit Siang jadi barang geli yang mengeringkan gusi.
“Saya harap ia tidak begitu, kerana Anwar bukan setaraf pemimpin Umno yang menaja pembentukan Berjasa dan Hamim 30 tahun lalu. Jika Datuk Asri yang diketahui pintar tidak dapat menggugat PAS, maka tidak nampak Ahmad Taib boleh menjadi Erdogan bagi memandu politik baru di Malaysia,”kata Subky.
Mohd Taib Ahmad diperkenalkan oleh blog harapankubangpasu adalah bekas kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Kedah, juga pernah memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Kubang Pasu.
“Hj Taib adalah di antara kumpulan gerakan pelajar Universiti terdiri seramai 80 orang yang telah berbai’ah dengan Al-Marhum Tuan Guru Hj. Yusof Ar-Rawa Yang DiPertua PAS Pusat dan Al-Marhum Dato Hj Fadzil Mohd Noor (Timbalan Yang DiPertua PAS Pusat) … di era kepimpinan ulamak untuk menolak tawaran berkhidmat dengan kerajaan UMNO/BN dan memilih bertugas sepenuh masa dengan PAS.
“Antara rakan-rakan seangkatan yang rapat dengannya ialah Datuk Paduka Husam Musa dan Dato’ Takiyuddin Hassan yang kini dilantik sebagai Exco kerajaan Kelantan.
“Di samping beberapa Ahli Parlimen termasuklah YB Ustaz Mohammad Husin (Pasir Puteh), YB Saifuddin Nasution (Machang) dan Ustaz Idris Hj Ahmad, AJK PAS Pusat,”lapornya.
Blog mahasiswamenggugat menyebut Mohd Taib Ahmad merupakan aktivis pelajar Persatuan Mahasiswa Universiti Malaysia (PMIUM) pada tahun 1983.
PMIUM yang sebelum ini merupakan tapak ABIM-PKPIM mula ditentang oleh Kumpulan Republik Islam satu kumpulan pelajar pro PAS, selepas Anwar Ibrahim membuat keputusan menyertai UMNO pada tahun 1982.
“Di Malaysia, kebetulan PAS mengalami krisis kepimpinan paling kritikal dalam sejarah penubuhannya apabila presidennya Dato Asri Muda yang mengimani aliran nasionalis-Islamis cuba ditumbangkan oleh Dewan Pemuda dan puak ulama PAS pada bulan Oktober 1982. Kaum muda dalam PAS yang dipelopori oleh tokoh-tokoh ABIM seperti Fadzil Mohd. Nor, Abdul Hadi Awang dan Nakhaie Ahmad telah bergandingan dengan tokoh muda Islam lepasan universiti di Barat seperti Khalid Samad dan Ishak Ali dari Suara Islam telah mengegarkan pimpinan PAS agar melakukan pemurnian semula ke arah Islam yang syumul.
“GMI (Gerakan Mahasiswa Islam) di kampus Malaysia mula bergolak antara pihak yang pro dan kontra keputusan Anwar yang memasuki UMNO. Perpecahan GMI amat terasa di Universiti Malaya di mana proksi ABIM-PKPIM telah gagal mempertahankan pengaruhnya dalam kepimpinan PMIUM. Proksi PAS mula menonjol apabila berjaya merebut jawatan tertinggi dalam pimpinan PMIUM dengan mengalahkan proksi ABIM-PKPIM yang hanya memperolehi 35 undi.
“Pengolakkan ini bertambah hangat apabila Takiyuddin Hasan [kini, EXCO kerajaan Kelantan] menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden PMIUM untuk memberi ruang kepada Mohd Taib Ahmad memenangi kerusi Timbalan Presiden PMIUM tanpa bertanding. Kumpulan pro PAS yang dikenali kumpulan Enam Kerinchi dikutuk habis-habisan oleh Pemangku Presiden PMIUM, Azami Zaharim sebagai pengkhianat.
“Kumpulan Enam Kerinchi terdiri daripada Muhamad Hussein [telah dilantik sebagai Presiden PMIUM pada sesi tersebut], Takiyuddin Hasan, Syed Putra Syed Ahmad [kini, wartawan kanan Harakah], Azmi Ali, Fuad Zarkhashi [orang kuat UMNO Johor, Presiden PBMUM 1981/82].
“Kumpulan Enam Kerinci yang dikatakan proksi PAS berazam menaikkan Mohd Taib Ahmad sebagai Timbalan Presiden PMIUM kerana beliau adalah orang kuat Persatuan Mahasiswa Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) yang diharap dapat membantu Muhammad Hussein menegakkan kepimpinan ulama di kampus Universiti Malaya.
“Tokoh-tokoh Kumpulan 6 Kerinchi ini merupakan pengasas kumpulan Republik Islam [turut dikenali Kumpulan Universiti Malaya] yang telah bersaing hebat dengan Islamic Represantative Council (IRC, mula berputik di Britain) digiatkan oleh Fauzi Shafie untuk menguasai Dewan Pemuda PAS pada akhir 1980an.
“Kumpulan Republik Islam terdiri Mohamad Hussein, Husam Musa, Ishak Ismail, Mohd Taib Ahmad, Baharin Mohamad, Syed Putra Syed Ahmad dan Mazlan telah berjaya membina pengaruh yang kuat dalam Dewan Pemuda PAS,” lapornya.
Bekas aktivis PMIUM, Zulkifli Sulong pula turut menceritakan kesan kemasukan Anwar ke dalam UMNO terhadap politik kampus UM.
“Apabila Anwar menyertai Umno, berlaku perpecahan hebat dalam kem Islam di kampus UM. Namun Shabery (Ahmad Shabery Cheek) tidak terlalu menunjukkan sikapnya. Lalu beliau ditolak masuk dalam kumpulan ‘tidak jelas’.
“Rumah sewa kami adalah di Conchita, rumah sewa yang menjadi markas pergerakan pelajar Islam di UM. Di Conchita inilah berdebatan hari-hari berlaku.
“Ketika itu kumpulan pro-Anwar dikenali dengan nama Anwariyyun. Yang paling ketara memimpin kumpulan ini adalah Saifudin Abdullah, Presiden Persatuan Bahasa Melayu (PBMUM) ketika itu. Baru-baru ini Saifudin menjadi calon BN di Pahang dan memenangi kerusi yang ditandinginya itu.
“Ketika Shabery tidak menunjukkan sikapnya yang jelas, Muhamad Husin memimpin kumpulan yang menyokong PAS secara langsung. Dalam kumpulannya termasuknya Husam Musa, Taib Ahmad, Mohamad Zainal Abidin Husien, Takiyudin Hassan, Zulkifli Yusof, Azmi Mohamad Ali, Syed Putra Syed Ahmad dan lain-lain lagi.
“Husam ketika itu aktif dalam PBMUM di bawah Saifudin. Muhamad Husin kemudiannya menjadi Presiden PMUM. Selepas itu, Takiyudin Hassan pula menjadi Presiden PMUM. Dan seterus selepas itu, Zulkifli Yusof juga menjadi Presiden PMUM,”katanya.
Dari zaman 80-an ketika di kampus, lingkaran tokoh-tokoh yang sama dikaitkan dengan penubuhan PasMa yang menjadi kontoversi baru-baru ini.

SUMBER : http://www.anwaraidc.com/?p=49817

No comments:

Post a Comment