Wednesday 24 September 2014

PASMA sandar harapan di bahu Azmin kembali satukan Pakatan


Walaupun pernah dikritik mahu menyaingi PAS dan menjadi parti alternatif parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat (PR), Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) melahirkan harapan tinggi terhadap menteri besar Selangor yang baharu agar beliau mampu menyatukan kembali parti dalam Pakatan.
Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata beliau berharap segala tindakan bakal diambil Mohamed Azmin Ali yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar semalam akan mengambil kira masa depan PR di negeri terkaya di Malaysia itu.
"Selain mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau, kita penuh harapan agar beliau dapat mengukuhkan lagi hubungan dalam PR.
PasMa merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang pro-PR, ditubuhkan sekumpulan ahli dan pemimpin pertengahan PAS ketika krisis itu memuncak.
Phahrolrazi berkata, beliau berharap segala tindakan dan kenyataan Azmin selepas ini mengambil kita kepentingan PR.
"Ini kerana, sasaran kita bukan Selangor saja, bahkan menawarkan pimpinan terbaik untuk negara," kata Phahrolrazi yang pernah menjadi exco kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran bekas menteri besar daripada PAS, allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.
PasMa sejak dari awal penubuhanannya menegaskan mahu menjadi NGO pendesak kepada hubungan erat dalam PR kerana yakin hanya dengan sistem dua parti dapat menjaga kepentingan rakyat di negara ini.
Namun, sesetengah pihak dalam PAS memandang serong terhadap penubuhannya dan ia didakwa berusaha menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan memecahkan PAS.
"Kita yakin Azmin berbeza dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak mendapat sokongan penuh PKR dan DAP sebelum ini," kata Phahrolrazi.
Azmin bakal membentuk Kabinetnya Jumaat ini selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tindakan beliau dalam melantik exco dan pegawai kanannya akan menentukan hala tuju beliau sama ada mahu memulihkan hubungan dalam PR atau memecahkan retak yang sedia ada.
Hadi dalam ucapannya semasa penggulungan Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat Sabtu lepas, menyelar pelbagai pihak termasuk rakannya dalam PR.
Paling ketara, apabila beliau mendakwa dua ahli PAS dibeli PKR untuk menyokong pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.
DAP pula terus mengecam 4 exco PAS yang kekal bersama Khalid ketika beliau memecat rakan exco daripada PKR dan DAP.
Namun ia dinafikan PAS dengan menyifatkan keempat-empat mereka sebagai penyelamat agar kerajaan negeri tidak jatuh dan pilihan raya terpaksa diadakan semula. – 24 September, 2014.
SUMBER: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pasma-sandar-harapan-di-bahu-azmin-kembali-satukan-pakatan#sthash.sG3a4K1E.dpuf

No comments:

Post a Comment