Wednesday 17 September 2014

PasMa tidak akan jadi parti politik - Phahrolrazi

Post Pic
SHAH ALAM: Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) tidak akan bertukar haluan kepada sebuah parti politik, sekalipun ramai yang melihat kecenderungan tersebut susulan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan dalam kemelut jawatan Menteri Besar Selangor. 
 
Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, sekiranya ada bibit perpecahan dalam PAS yang memungkinkan satu parti baru terbentuk akibat percanggahan pandangan, namun ia bukan daripada PasMa.  
 
"Tidak.. tidak.. Ia tidak boleh berlaku. Sebab kita NGO nak bertukar kepada parti politik, ia melalui proses yang sukar. Kalau ada pihak lain nak tubuh, itu urusan mereka. Bukan platform PasMa.
 
"Kalau nak tubuh, ini (mungkin) daripada kumpulan lain, pemimpin sendiri yang betul-betul tokoh politik yang ada kedudukan nasional, bukan saya.. Tahap (jawatan) saya rendah saja," katanya kepada Antarapos.
 
ADUN Pengkalan Kundor ini sekali lagi menegaskan bahawa objektif penubuhan PasMa adalah sebagai medium untuk para penyokong meluahkan pandangan kepada parti, dan penyingkiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak termasuk dalam perancangan NGO itu.
 
"Isu kita, ialah penyokong ambil berat. Sebab penyokong Pakatan Rakyat ini ambil berat apa yang berlaku, takut Pakatan berpecah," katanya sambil menafikan kewujudan PasMa menjadi punca kepada bibit perpecahan dalam PAS. 
 
Phahrolrazi menambah, walaupun Muktamar Tahunan PAS yang akan membuka tirai esok pasti akan membincangkan isu PasMa, namun katanya beliau berkemungkinan tidak ada peluang untuk menjelaskan objektif sebenar NGO tersebut yang selama ini dilihat memporak-perandakan PAS. 
 
"Saya ada dalam itu (muktamar) tapi saya bukan perwakilan yang berucap. Kalau saya berucap, saya bolehlah menjawab perkara berbangkit. 
 
"Saya terpaksa guna media sajalah kalau perlu saya jawab," katanya.    
   
Beliau dalam pada itu turut menafikan penglibatan beberapa pemimpin tertinggi PAS dalam organisasi NGO itu, seperti yang tersebar dalam internet.
 
Antara yang dikaitkan adalah golongan profesional yang 'dilabel' Anwarinas di dalam PAS, seperti Naib Presiden, Datuk Husam Musa; Ketua Pengarah Pilihan Raya, Dr Hatta Ramli; Ahli Jawatankuasa Kerja, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa , Dr Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad.
 
"Tidak ada pimpinan dalam PAS atau Pakatan Rakyat berada dalam PasMa. Yang senarai itu semua palsu. 
 
"Ini bukan medan mereka, kita akan jemput mereka untuk datang program kita sebab penyokong nak tanya dalam forum," ujarnya lagi.
 
sumber : http://www.antarapos.com

No comments:

Post a Comment