Anwarinas Makin Kuat Dengan Jenama Baharu, PasMa…
Manusia mempunyai satu tabiat yang sama dan sukar untuk dikikis.
Makin dilarang, makin menjadi atau makin dibuat. Sepertimana, makin
disembunyikan maka semakin kuat perasaan ingin tahu di atas sesuatu
perkara.

Apa yang terjadi kepada kepimpinan Pas sekarang? Semakin kuat arahan
diberikan agar ahli Pas jangan sertai Pasma, semakin hebat pula
tentangan terhadap amaran yang diberikan.
Terbaru, berita yang diterima, PasMa mula menyerang Terengganu,
tempat atau kubu kuat Presiden Pas, Hadi Awang. Boleh dikatakan setiap
daerah di Terengganu sudah wujudnya cawangan PasMa beserta dengan
peerlantikan ketuanya sekali dan bukan itu sahaja, PasMa juga membuat
perancangan untuk mewujudkan pejabat-pejabat pentadbiran beserta
kakitangan tetap di setiap tempat yang mereka adakan cawangan-cawangan
tersebut.
Kumpulan ini menggunakan alasan bahawa wujudnya percanggahan antara
Setiausaha Agong Pas, Mustapa Ali dengan Majlis Syura Ulamak Pas.
Menurut mereka, Mustapa Ali dalam kenyataan terdahulunya menegaskan
tidak salah menyertai PasMa kerana ianya merupakan satu badan Ngo tetapi
Majlis Syura Ulamak pula berpandangan yang berbeza dengan Setiausaha
Agong Pas itu.
Menurut Presiden PasMa, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pas
dalam menangani percanggahan “arahan” tersebut dan beliau dengan yakin
menyatakan hanya Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS yang
berhak mentafsirkan perlembagaan Pas dan bukannya Majlis Syura Ulama.
Bukan setakat PasMa menyerang Terengganu sahaja. Di Kedah juga sudah
bermula gerakan penubuhan cawangan dan perlantikan pemimpin daerah.
Menurut Presiden PasMa, Phahrolrazi, PasMa juga sudah pun menyusun
gerakan untuk menubuhkankan cawangannya di Pahang dan Ipoh dengan
menegaskan bahawa kedua-dua program penubuhan di negeri-negeri tersebut
bakal dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pas sendiri iaitu Khalid Samad dan
Dr Dzulkefley Ahmad.
Beliau juga turut mendedahkan nama Tengku Puji Tengku Abdul Hamid, bekas pemimpin PAS yang kini dilantik mengetuai PasMa Pahang.
Sudah ada cakap-cakap dalam ‘kem’ Hadi Awang bahawa PasMa ini mungkin
merupakan kumpulan Anwarinas yang hanya menggunakan nama baharu, PasMa
agar nampak lebih rasmi kewujudannya sebagai golongan pendokong kuat
penyokong parti Pas di atas nama perjuangan Ngo.
Bagi mereka, langkah pertama adalah menukar nama Anwarnis kepada
PasMa adalah strategi golongan yang pro Anwar untuk mengambil alih
kepimpinan utama Pas dimasa yang terdekat. Langkah akhir kiranya usaha
dari dalam tidak berjaya maka PasMa berkemungkinan akan muncul sebagai
parti politik dan bakal menjadi ‘komponen baru’ pakatan rakyat.
Hadi Awang dan golongan ulama Pas mungkin sudah menyedari hal ini dan
apa yang dilihat oleh ahli Pas dan penyokong mereka, Hadi Awang kini
terpaksa berhempas pulas menarik kembali sokongan ahli dengan mula
bernada lembut selepas dilihat ketegasan dalam isu kemelut Menteri Besar
Selangor, Hadi Awang gagal mengawal anak buah sendiri dan tercalar
imejnya sebagai Presiden Parti. Buktinya, Pilihanraya Kecil Pengkalan
Kubur, Hadi Awang terpaksa akur dengan pemilihan calon yang datangnya
dari orang kuat PasMa Kelantan.
Hadi Awang terus ‘dihukum’ oleh pemimpin Pas di barisan utama bila
beliau dilihat tidak ditemani oleh Timbalan Presiden, Mat Sabu dan juga
Naib-Naib Presiden Parti yang lain pada hari perbicaraan ke atas Hadi
Awang dalam kes memfitnah calon Pkr. Mat Sabu mampu mengikuti ceramah
Anwar di mana sahaja atas nama pembelaan untuk Anwar, kenapa tidak
sanggup muncul memberi sokongan moral kepada Presidennya sendiri?
Tambah perit bila Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub berpendirian
bahawa setiap ahli berhak menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan,
dan PAS tidak boleh menghalang sekiranya ahli mahu sertai PasMa.
Kalau dulu apa sahaja yang keluar dari mulut Hadi Awang, “itulah
suara fatwa, itulah suara amanat” namun kini semuanya sudah basi. Fatwa
“besi” Hadi Awang lebih dipercayai dan diikuti oleh penyokong Pas dari
amaran keras Hadi Awang melarang mereka sertai PasMa.
“Besi’ untuk Anwar, basi untuk Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama.
Riana Abd Aziz
Artikel ini diambil daripada umnoonline