Sunday 26 October 2014

PAS PERLUKAN PAKATAN RAKYAT : HUSAM MUSA

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mem
bidas pandangan sesetengah pemimpin yang mahu parti Islam itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan berjuang bersendirian atau menyertai Umno dalam Barisan Nasional (BN).
Husam berkata, berjuang bersendirian umpama PAS kembali ke zaman 1980-an di mana parti itu bersendirian tanpa bersekutu dengan mana-mana pihak selepas ditendang keluar daripada BN.
“Saya masuk PAS ketika PAS sendirian, keluar daripada BN. Saya masih muda ketika itu, lihat seolah-olah PAS tiada masa depan.
“Bertanding kalah, Kelantan yang kuat pun tinggal dua kerusi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, hujung minggu lalu.
Husam berkata, masa terbaik bagi PAS adalah bekerjasama dengan PR kerana ia memberikan peluang sama rata kepada setiap parti.
“Jika kita ikut Umno kita umpama gerabak pada Umno bukan lokomotifnya. Sampai bila pun kita tidak dapat memintas Umno sebab kita satu landasan.
“Tapi dalam PR landasan kita parallel sebab kita punya landasan berbeza dan persaingan sihat untuk masa depan politik lebih baik. Kalau baik PAS, maka PAS akan mengetuai, jika PKR yang baik maka ia akan jadi ketua. Kita perlu yakin politik Melayu akan berlaku rekonstruksi.
“Tetapi jika adik-adik atau anak muda yang rasa lebih baik PAS keluar PR, saya tidak pasti. Percayalah kita perlu 30 tahun membetulkan dan meyakinkan semula orang ikut PAS. Pada saya situasi sekarang lebih baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment